Friday, 30 March 2012

Sejarah Sekolah Kebangsaan Ranggu

Posting pertama untuk blog ini:-
Sejarah Sekolah.


SK RANGGU , TAWAU adalah salah sebuah sekolah luar bandar yang terletak kira-kira 16KM dari bandar Tawau. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1973. Sejak penubuhannya 37 tahun yang lalu , SK Ranggu telah mengalami banyak perubahan besar bukan hanya dari segi pertambahan bilangan murid tetapi juga mengalami banyak pertambahan prasarana pembangunan pendidikan yang pesat sejajar dengan pembangunan negara ke arah wawasan 2020.
  SK Ranggu adalah sekolah yang beridentitikan keindahan persekitaran.Bersesuaian dengan namanya yang berasal daripada nama sepohon kayu iaitu Pokok Ranggu sekolah ini amat mementingkan persekitaran yang hijau untuk lebih menceriakan pemandangan , pemikiran dan minda murid-murid ke arah menimba ilmu dengan lebih berkesan.Selain dari itu sekolah ini juga mempunyai keunikannya tersendiri ia adalah salah sebuah sekolah yang mempunyai sebatang sungai yang merentangi kawasan sekolah dan yang menjadi landskap utama sekolah ini.Dengan adanya rentangan dan aliran sungai di tengah-tengah kawasan tersebut telah menampakkan suatu keceriaan yang sangat menarik perhatian bagi sesiapa yang mengunjungi sekolah ini.
  SK Ranggu yang dahulunya hanya memiliki sebuah bangunan dan sebuah rumah guru , kini telah berubah wajah di mana bilangan bangunan kini telah bertambah iaitu 4 blok bangunan yang mengandungi 12 bilik darjah disamping 1 blok pentadbiran yang mengandungi sebuah pejabat,bilik pentadbiran guru besar,penolong kanan kurikulum,penolong kanan HEM dan penolong kanan Kokurikulum,bilik guru,pusat sumber sekolah dan bilik sains.Selain dari itu kerajaan juga telah membina sebuah bangunan baru khusus untuk pendidikan Pra Sekolah dan ianya telah beroperasi pada awal tahun 2004 .
Dari tahun ke setahun SK Ranggu terus maju selaras dengan perkembangan pendidikan di negara ini .Pada tahun 1996 sekolah ini telah dinaiktarafkan ke sekolah ‘Gred A’ luar bandar dan telah melaksanakan dua sesi persekolahan iaitu sidang pagi dan petang.Sehingga kini bilangan murid di sekolah ini telah mencecah seramai 379 orang murid dan mempunyai seramai 33 orang tenaga pengajar dan 4 orang kakitangan bukan mengajar .
  Dari segi kemajuan dan pencapaian dalam peperiksaan awam , SK Ranggu juga adalah salah sebuah sekolah yang terbaik pencapaiannya dalam Peperiksaan UPSR dan sekolah ini pernah meletakkan dirinya dalam senarai 10 sekolah terbaik UPSR Daerah Tawau. Dalam waktu yang sama pencapaian kokurikulum sekolah ini tidak kurang juga hebatnya.
  Pada keseluruhannya , bolehlah dikatakan bahawa SK Ranggu adalah salah sebuah sekolah yang mempunyai prestasi akademik yang baik dan membanggakan dan adalah menjadi harapan warga sekolah ini agar kemajuan pendidikan akan terus dilaksanakan sebaik yang mungkin selaras dengan visi sekolah ini Kecemerlangan Dalam Semua Aspek Pendidikan